Sunday 30 April 2017

Dimensi Antarabangsa / Serantau

Soalan:  Bencana alam sering berlaku di merata-rata. Mangsa bencana telah kehilangan harta benda dan ahli keluarga. Sebagai negara penyayang, negara kita sering menghulurkan bantuan untuk menolong negara yang dilanda  bencana alam. Huraikan sumbangan yang dapat kita berikan untuk membantu negara yang dilanda bencana alam.

Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tak berbunyi, malang tidak berbau.Tamsilnya, tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac 2011 telah menggemparkan seluruh dunia.  Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia sering terlepas daripada pelbagai bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, tsunami, ribut taufan dan sebagainya.  Sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan , kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban. Persoalan yang terus melanda ruang legar fikiran kita, apakah bantuan yang dapat kita hulurkan kepada negara yang terlibat dalam malapetaka?

Tidak dapat dipertikaikan lagi, sumbangan kewangan merupakan bantuan yang afdal untuk membantu mangsa bencana. Khalayak ramai boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma.  Badan-badan NGO dan media perlu menyeru orang ramai supaya memberikan sedekah dan derma kerana mangsa bencana yang  amat memerlukan dan mendambakan bantuan kewangan bagi meneruskan kehidupan di alam  fana ini.  Mangsa bencana alam memerlukan wang kerana segala harta mereka telah dimusnahkan. Makanan, susu dan pakaian juga perlu diderma untuk membantu mangsa bencana yang hidup sehelai sepinggang dan tengah kelaparan.  Untuk mencapai hasrat murni ini, pelbagai peringkat kutipan derma sering dijalankan oleh badan NGO, terutamanya Persatuan Bulan Sabit Merah  dan pihak berkenaan supaya dapat meringankan beban mangsa seperti peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semua umat tidak harus lokek atau kedekut dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kananya pun sakit juga agar mangsa bencana dapat pulih seperti sedia kala.

Tambahan pula, kita perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk tenaga dan kepakaran  kepada negara yang menghadapi bencana untuk menyelamatkan mangsa. Negara kita boleh menghantar pasukan sukarela dan pasukan penyelamat yang profesional untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dan hilang. Ketika tertimbus dalam gempa bumi, setliap mangsa hanya mempunyai “72 jam” untuk diselamatkan sebelum menemui maut.  Proses penyelamatan mangsa memerlukan perancangan yang sistematik, saintifik dan efektif.  Pasukan Gerakan Cepat dan Pasukan SMART di negara kita telah mempunyai segala kelengkapan yang canggih  dan kemahiran yang cekap untuk memberikan bantuan pada bla-bila dan di mana-mana sahaja. Sumbangan tenaga penyelamatan  boleh menjadi platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni dengan menyedari pepatah, hari tidak selamanya panas.

Bukan itu sahaja, bantuan perubatan dan rawatan kesihatan harus disumbangkan kepada negara yang dilanda musibah. Negara kita perlu memberikan bantuan ubat-ubatan, terutama ubat pelali, vaksin dan sebagai. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pegawai Jabatan Kesihatan, doktor dan jururawat harus dihantar ke  negara yang dilanda malapetaka untuk memberikan rawatan kecemasan . Tidak dapat dinafikan bahawa nasib mangsa bagai sudah jatuh ditimpa tangga kerana pelbagai penyakit berjangkit akan merebak selepas bencana alam. Hal ini demikian kerana mayat yang bergelimpangan tidak dikebumikan  dengan baik. Bekalan air bersih turut tercemar.  Lazimnya mangsa bencana akan cirit-birit, demam dan muntah malah sistem imuniti mereka turut terjejas.  Penyakit taun, kepialu dan batuk kering akan menular di tapak bencana alam.  Oleh itu, pasukan perubatan kita perlu mendirikan pusat rawatan atau hospital sementara untuk menjalankan pembedahan dan memberikan rawatan kepada mangsa yang sakit atau cedera memandangkan kebanyakan hospital dan klinik tempatan  telah musnah atau sarat dengan pesakit.

Selain keperluan fizikal, keperluan rohani tidak  kurang pentingnya kepada mangsa bencana  alam.  Pakar psikologi dan ahli kaunseling negara kita juga perlu dihantar ke negara yang dilanda bencana alam.  Lazimnya mangsa bencana alam akan menjadi trauma, iaitu sentisasa cemas, takut, kesiangan dan fikiran sentisa bercelaru.  Mereka hidup dalam penderitaan dan kesedihan akibat kehilangan ahli keluarga yang disayangi. Dalam konteks ini, bimbingan dan kaunseling perlu disalurkan kepada mangsa bencana alam. Sokongan moral daripada negara kita amat penting untuk merawati hati mereka yang telah remuk-redam.  Pemimpin dan artis yang terkemuka boleh menziarahi mangsa untuk memberikan semangat kepada mereka supaya mereka memperoleh   nur harapan   selepas menempuhi dugaan Tuhan. Lantas,  mangsa dapat menghadapi masa depan yang lebih berprestij dan penuh keyakinan.

Setelah ditimpa malapetaka, segala infrastrutur di negara kita akan binasa, bagai padang jarak, padang terkukur.  Walhasilnya, sekolah, hospital , klinik, jalan raya, rumah dan sebagai telah musnah. Lebih-lebih lagi, ekonomi  negara berkenaan telah lumpuh. Sehubungan dengan itu, kerajaan negara kita patut menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama dengan ahli korporat tempatan untuk menghidupkan aktiviti ekonomi yang telah lumpuh di kawasan bencana itu.  Saranan tentang pelan induk pembinaan dan pembangunan sosioekonomi boleh dicadangkan agar ekonomi dan masyarakat terbabit  dapat pulih dengan secepat mungkin.  Sebagai contoh, negara kita telah berjaya mendirikan lebih daripada 3 ribu buah rumah kos rendah yang dilengkapi dengan pelbagai prasarana di Aceh , Sumatera Indonesia selepas dilanda tsunami pada tahun 2004.  Oleh itu , bantuan membina prasranan dan infrastrutur yang rosak patut dihulurkan oleh negara kita terhadap mangsa bencana alam.

Secara tuntasnya,  sebagai makhluk ciptaan Tuhan ,  semua umat bagai saudara  yang tidah harus dibezakan  atas batasan geografi  untuk bantu-membantu. Kita tidak harus bersikap ego, bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.  Kata orang tua-tua, di sebalik malapetaka ada hikmatnhya,  iaitu seluruh dunia memperlihatkan  perikemanusiaan  dengan menghulurkan bantuan kepada negara yang ditimpa musibah. Amat wajarnya kita membudayakan sikap tolong-menolong  sesama manusia tanpa mengira bangsa, agama dan negeri lantaran buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.  Seluruh dunia akan bermuafakat sehingga melahirkan dunia utopia yang aman sentosa.

No comments:

Post a Comment